TOPOGRAFI
Sungai Siput terletak di negeri Perak, Malaysia. Sungai Siput berhampiran dengan Kuala Kangsar, Salak Utara, Jalong, Kantan, Lintang dan Felda Lasah. Daerah Sungai Siput bersempadankan daerah Hulu Perak di Utaranya, Daerah Kinta di selatannya, Negeri Kelantan Darul Naim disebelah timurnya dan daerah Kuala Kangsar di sebelah baratnya. Daerah kecil Sungai Siput merupakan sebahagian daripada Daerah Kuala Kangsar. Keluasannya yang merangkumi 155,141 hektar adalah merupakan 61.5% daripada keseluruhan Daerah Kuala Kangsar (Nasyeera Khairiah Hairol, 2012).
TOPONOMI
Nama Sungai Siput adalah daripada sebatang anak sungai yang terletak berhampiran dengan Masjid India. Pada masa dahulu sungai ini banyak dipenuhi siput tetapi sekarang sungai berkenaan telah hampir tertutup disebabkan kesan pembangunan. Sebab itu peneroka-peneroka dahulu mengenali tempat ini dengan nama Sungai Siput (Nasyeera Khairiah Hairol, 2012).